Wednesday, 30 November 2016

Perniagaan Berasaskan Sawit

1.0  PENGENALAN

Malaysia merupakan pengeluar terbesar minyak sawit dan juga merupakan pengeluar minyak sawit yang berkualiti tinggi sehingga disenaraikan diantara minyak sawit yang paling terbaik di dunia. Hal ini adalah kerana pihak kerajaan telah mengetahui penjualan minyak sawit adalah antara sumber utama dalam mengekalkan ekonomi eksport Negara selain menambah pendapatan Negara.

Umum di ketahui rata-rata tanah di Negara ini diusahakan kearah tanaman pokok sawit. Bagi mereka yang tinggal mahupun melancong ke Malaysia, sudah pasti pernah melihat pokok dan buah sawit yang diusahakan pekebun-pekebun.Negeri Sabah merupakan salah satu penyumbang terbesar dalam bidang pertanian kerana negeri Sabah mempunyai keluasan tanah yang bertanam sawit yang paling luas di Malaysia.

Asal usul  Industri sawit Malaysia bermula pada tahun 1917 apabila Ladang Tenmaran di Kuala Selangor ditanam dengan benih dura Deli dari Rantau Panjang. Apabila pewarisan bentuk buah difahami, penanaman komersil beralih daripada bahan dura kepada kacukan dura x pisifera (D x P). Kacukan D x P menghasilkan buah tenera. Penanaman ladang yang menggunakan bahan D x P berlaku secara mendadak pada awal dekad 1960-an apabila Felda membuka tanah rancangan secara besar-besaran.

Penubuhan MPOB ( MALAYSIAN PALM OIL BOARD) pada 1 Mei 2000 melalui Akta 582, merupakan salah satu langkah terbaik dalam memajukan tanaman sawit di Malaysia. MPOB mengambil alih, melalui penggabungan, fungsi Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (PORIM) dan Lembaga Pendaftaran dan Pelesenan Minyak Kelapa Sawit (PORLA).[1] Setiap organisasi ini masing telah terlibat dalam industri kelapa sawit selama lebih dari 20 tahun dan ia adalah untuk memberi perkhidmatan yang lebih berkesan dan juga untuk memberi tumpuan negara dan antarabangsa yang lebih besar kepada industri yang MPOB telah dimulakan.

Selain itu, MPOB mendapat pembiayaan terutamanya daripada ses yang dikenakan ke atas industri bagi setiap tan minyak sawit dan isirong kelapa sawit yang dikeluarkan. Di samping itu, MPOB menerima peruntukan bajet daripada kerajaan untuk membiayai projek pembangunan dan projek-projek penyelidikan yang diluluskan di bawah Penumpuan Penyelidikan dalam Bidang Keutamaan program (IRPA).

2.0 KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN

Umum diketahui Negara Malaysia adalah merupakan Negara yang proaktif dalam bidang pertanian. Pihak kerajaan tidak putus memberi kemudahan kepada rakyatnya yang mengusahakan pelbagai jenis pertanian dengan menyediakan insentif-insentif yang mampu meringankan beban mereka. Jelas diketahui bidang pertanian ini memberikan impak yang besar kepada Negara, masyarakat dan diri sendiri, bak kata pepatah melayu “ Berbudi pada tanah, dapat la hasilnya ”.

Bagi mereka yang mempunyai tanah, bukan sahaja hasil daripadanya yang dapat dirasai, tetapi dengan mengusahakan tanaman sawit ini, pekebun berperanan penting menyumbang dan membantu dalam memastikan bekalan makanan mencukupi di Malaysia. Pokok sawit menghasilkan buah sawit apabila mencapai had umur yang sesuai. Buah tandan segar yang dikutip oleh pekebun kecil seterusnya kan dihantar ke kilang pemprosesan buah tandan tersebut.

Buah sawit menghasilkan minyak yang boleh dijadikan kepada pelbagai barang seperti lilin, bahan makanan, produk kosmetik dan lain-lain lagi. Selain itu, minyak sawit (yang diperoleh daripada pokok kelapa sawit, Elaeis guineensis) mengandungi lebih kurang 75 peratus alfa, gama dan delta tokotrienol serta hanya 25 peratus alfa-tokoferol. Berbanding dengan yang lain, kuantiti gama-tokotrienol paling banyak dalam minyak sawit.

Sejak lebih daripada 30 tahun yang lalu, banyak kajian dijalankan di seluruh dunia untuk menyelidik kepentingan dan manfaat Vitamin E dalam minyak sawit kepada kesihatan dan keselesaan hidup manusia. Walaupun kebanyakan kajian masih pada peringkat ujian percubaan menggunakan haiwan di makmal, kebanyakan penemuannya adalah positif kepada rumusan bahawa Vitamin E dalam minyak sawit memberikan banyak manfaat kepada kesihatan manusia.

Kepentingan bidang pertanian juga adalah ia menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat Malaysia yang berminat untuk menyeburi bidang pertanian. Bidang pertanian menyumbang 50 peratus peluang pekerjaan. Perlu diingat bahawa definisi pekerjaan dalam sektor pertanian bukan sahaja bekerja di ladang, malahan meliputi pemprosesan dan pemasaran. Realitinya, pekebun kecil sememangnya bergantung harap kepada sektor ini memandangkan mereka mempunyai tanah yang luas untuk dikerjakan dan tenaga buruh yang mudah didapati. Lagi pula, pekerjaan ini tidak memerlukan kelulusan yang tinggi berbanding kerja profesional dan separuh profesional. Tegasnya, sektor ini boleh diibaratkan bulan jatuh ke riba kepada golongan kurang terpelajar untuk tidak bergelar penganggur.

Selain itu, bidang pertanian ini juga mampu menjana pendapatan Negara dan masyarakat. Sehingga kini, industri sawit masih kekal sebagai penyumbang utama ekonomi Negara. Menurut MPOB, pencapaian sepanjang tahun 2014, jumlah eksport minyak sawit sebanyak 17.278 juta tan bernilai RM44.434 bilion berbanding 18.14 juta tan dengan nilai RM45.269 bilion yang direkodkan pada 2013[2]. Kerajaan juga mengumumkan bahawa pendapatan Negara akan lebih meningkat lagi jika amalan pertanian baik dijalankan oleh setiap pekebun kecil bagi memastikan kualiti minyak dari pokok sawit lebih baik dan memuaskan.

Disamping itu, bidang pertanian ini juga penting dalam meningkatkan pendapatan eksport Negara. Minyak sawit berkualiti yang dieksport ke luar Negara menerima permintaan yang tinggi. Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia selepas Indonesia. Pada Ogos 2016, eksport minyak sawit Malaysia naik 30.89 peratus kepada 1.81 juta tan metrik berbanding 1.38 juta tan metrik yang dicatatkan pada bulan sebelumnya[3]. Ini menunjukkan pendapatan ekpsort Negara semakin meningkat dan di jangkakan akan terus meningkat lagi pada tahun seterusnya.

3.0 POTENSI BIDANG PERTANIAN

Pertanian berasakan kelapa sawit merupakan satu bidang pertanian yang amat menguntungkan pekebun kecil. Menanam kelapa sawit boleh di ibaratkan seperti pelaburan. Pekebun kecil yang menanam sawit akan menerima hasil selama 25 tahun. Pokok sawit amat mudah di tanam dan jiga jika amalan pertanian baik sentiasa dilakukan.

Bagi pekebun kecil yang bergantung sepenuhnya kepada pertanian sawit, keuntungan dari hasil jualan tandan mampu mencecah ribuan ringgit setiap bulan. Hasil daripada penjualan juga akan dapat menampung perbelanjaan bulanan sesebuah keluarga tersebut sepanjang 25 tahun. Hasil penuaian tandan sawit biasanya dilakukan pada awal pagi dan akan selesai sekurang-kurangnya pada sebelah tengahari. Pekebun mampu meluangkan masa pada sebelah petang dengan beristirehat dan beriadah bersama keluarga.

Selain itu pengusaha tapak semaian juga akan memperoleh keuntungan daripada hasil penjualan anak benih sawit. Pekebun kecil akan membeli anak benih sawit daripada pengusaha dengan jumlah yang banyak atau memenuhi jumlah kesesuaian ditanam pada kebun mereka. Harga sepolibeg anak pokok sawit mencecah sehingga RM 14.00. Tidak dinafikan, harga pasaran kelapa sawit dijangka kan meningkat ekoran daripada permintaan yang tinggi. Hal ini telah menyebabkan ramai masyarakat yang berlumba-lumba untuk mengusahakan tapak semaian demi mengaut keuntungan yang banyak.

Disamping itu, Keuntungan dalam mengusahakan tanaman sawit ini turut memberikan tempiasnya kepada pengusaha baja di Malaysia.Terdapat beberapa jenis baja yang di syorkan kepada pekebun yang mengusahakan tanaman sawit agar dapat menghasilkan pokok yang bebas dari pada penyakit dan bermasalah. Sesuatu baja mengandungi nutrient tertentu untuk tanaman. Pembajaan merupakan satu amalan pertanian yang perlu ditiitkberatkan kerana ia adalah proses pembekalan nutrient secara seimbang kepada tanaman untuk keperluan tumbesaran dan pengeluaran hasil pokok sawit. Nutrien utama yang diperlukan oleh pokok sawit untuk tumbesaran dan pengeluaran hasil ialah nitrogen (N), fosfat (P), dan kalium (K). Bergantung pada jenis tanah tertentu, pokok sawit juga memerlukan nutrient skunder magnesium (Mg) dan unsur surih iaitu Boron (B), Zink (Zn) dan kuprum (Cu)[4]. Jelas diketahuai proses pembajan ini adalah merupakan perkara yang terpenting dalam memelihara tanaman sawit.

4.0 CABARAN ATAU HALANGAN

Dianggarkan hampir 80 peratus populasi dunia masa kini menggunakan hasil sawit dalam kehidupan seharian mereka. Malaysia merupakan antara negara terbesar yang mengeksport sawit iaitu sekitar 39 peratus daripada keluaran sawit dunia. Daripada jumlah tersebut, negara turut mencatatkan 44 peratus hasil eksport dunia, menjadikan industri sawit amat penting buat negara selain getah dan koko. Bagaimanapun untuk mengekalkan industri sawit berjalan dengan lancar dan sentiasa berkembang, pelbagai cabaran perlu dihadapi.

Cabaran dalam menanam pokok sawit ini ialah, pekebun akan berdepan dengan serangan kumbang dan serangga serta penyakit yang biasanya di dialami oleh pokok-pokok sawit, dan dikenali sebagai serangan penyakit Reput Pangkal Batang. Serangan kumbang dan penyakit ini adalah salah satu cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pekebun pada masa kini dan cara untuk merawat serangan dan penyakit ini memerlukan kos perbelanjaan yang besar. Serangan rumpai penumpang batang pokok juga merupakan salah satu serangan perosak pada pokok sawit yang menjadi satu masalah besar kepada pekebun kecil. Keluasan tanah, bilangan pokok yang melebihi 100 pokok, dan kos rawatan merupakan salah satu cabaran besar yang perku dihadapi setiap pekebun yang mengusahakan tanaman sawit ini.

Permintaan dunia terhadap minyak sawit mentah adalah tidak stabil menyebabkan harganya turun naik. Sekatan tarif dan bukan tarif yang bertujuan untuk mengehadkan penembusan pasaran tempatan, seperti yang dilakukan oleh Kesatuan Eropah, memberi impak kepada harga pasaran minyak sawit.

Persaingan. Seperti yang diketahui umum, Malaysia bukanlah satu-satunya negara pengeluar minyak sawit dunia, malah negara-negara di selatan Amerika dan benua Afrika turut menanam pokok kelapa sawit untuk mendapatkan minyaknya. Oleh itu, Malaysia terpaksa bersaing dengan negara-negara pengeksport minyak sawit. Negara pengimport pula berpeluang untuk membuat pilihan dan memilih negara yang menawarkan kualiti minyak yang terbaik untuk menjadi pembekal minyak sawit ke negara mereka.

Pada hujung abad ke-20, kumpulan penyokong alam sekitar dan pengguna di Eropah dan Amerika Syarikat telah melancarkan kempen anti minyak sawit. Kempen ini dilancarkan oleh kumpulan ini atas dakwaan bahawa lemak tepu minyak sawit meningkatkan paras kolesterol darah seterusnya menjadi salah satu punca penyakit jantung. Minyak sawit juga didakwa sebagai salah satu ejen penyakit kanser. Kumpulan ini kemudiannya mencadangkan alternatif untuk menukar penggunaan minyak kelapa sawit kepada minyak kacang soya dan bunga matahari. Kumpulan penyokong alam sekitar ini juga mendakwa penebangan hutan bagi tanaman sawit mencabul hak asasi manusia di samping memusnahkan habitat orang utan. Namun begitu, dengan berbekalkan bukti-bukti kukuh yang diperoleh daripada penyelidikan yang dijalankan oleh PORIM, negara kita mampu menangkis serangan berkenaan. Kesan buruk kempen yang dijalankan oleh negara-negara pengeluar minyak sayuran tersebut tidak menjejaskan pasaran dan permintaan daripada negara-negara pengeksport minyak sawit yang sudah lama berdagang dengan negara kita.

Kenaikan dalam kos pengeluaran, bahan api dan upah menyebabkan kos pengeluaran minyak ini menjadi semakin meningkat. Malaysia juga menghadapi masalah kekurangan kilang pemprosesan. Buah-buah kelapa sawit ini terpaksa dihantar ke kilang yang paling dekat, menyebabkan mutu minyaknya berkurangan kerana buahnya lambat diproses. Ladang-ladang juga mengalami masalah kekurangan tenaga pekerja tempatan, dan masih banyak bergantung kepada buruh asing bagi kerja-kerja penuaian, penjagaan am dan penyelenggaraan ladang kelapa sawit. Pekerja tempatan kurang berminat untuk bekerja di ladang kelapa sawit atas sebab kos upah yang murah dan kerja yang memenatkan.

Selain itu, Malaysia juga menghadapi masalah tanah yang terhad untuk penanaman kelapa sawit dan hanya bergantung kepada kawasan perladangan sawit yang sedia ada. Ladang kelapa sawit juga tidak terlepas daripada serangan serangga seperti kumbang badak dan penyakit ganoderma yang menjadi ancaman kepada industri. Serangan secara besar-besaran mampu menggugat pengeluaran minyak sawit kerana pokok kelapa sawit yang diserang musnah sama sekali. Di samping itu, faktor cuaca juga turut memainkan peranan penting dalam menentukan pengeluaran minyak sawit. Cuaca panas dan kemarau serta berjerebu akan turut mendatangkan kesan buruk kepada pokok kelapa sawit.

5.0 SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN

Kerajaan telah berusaha sebaik mungkin untuk memberikan pelbagai kemudahan kepada pekebun kecil di Malaysia. Pihak kerajaan mendapati penanaman kelapasawit merupakan tulang belakang kepada kejayaan dan peningkatan ekonomi Negara sehingga kini. Oleh yang demikina, pihak kerajaan telah menyediakan bantuan Tanam semula, Tanam Baru, Bantuan integrasi tanaman dan ternakan.

Seramai 46,849 pekebun kecil di seluruh negara menerima manfaat bantuan dan subsidi daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sejak 2011. Pekebun kecil persendirian adalah dipelawa untuk memohon Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) atau Skim Tanam Baru Sawit Pekebun Kecil (TBSPK). Menurut MPOB, dasar permohonan adalah yang dahulu didahulukan dan permohonan akan ditutup apabila mencapai sasaran keluasan mengikut zon.

Bagi bantuan tanam semula, bantuan yang diberikan  adalah sebanyak RM7,500 (Semenanjung) dan RM9,500 sehektar (Sabah dan Sarawak) meliputi kos penyediaan tapak seperti menebang dan meracik pokok tua, membaris, membina teres, menanam anak benih,membeli anak benih, baja dan racun rumpai pada tahun pertama. Bantuan ini sangat membantu meringankan beban pekebun kecil yang kurang berkemampuan. Jumlah kos penyediaan tapak kebun dianggarkan melibatkan ribuan ringgit dan itu tidak termasuk pembelian bibit, baja dan racun rumpai. Dengan bantuan ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi oleh pekebun.

Syarat-syarat kelayakan untuk memohon skim ini adalah, individu tersebut mestilah Warganegara Malaysia, berstatus Pekebun kecil sawit persendirian dan mempunyai lesen MPOB, tidak termasuk peneroka/peserta FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi kerajaan negeri. Selain itu, tanaman sawit berumur melebihi 25 tahun atau yang tidak produktif. Had bantuan maksimum adalah 40.46 hektar dan kawasan tanaman mestilah yang sesuai dan tidak selalu banjir. Perlu dititikberatkan, Tanaman secara bawahan tidak dibenarkan.

Seterusnya, bagi bantuan skim tanam Baru, nilai bantuan adalah tidak melebihi RM7,500 sehektar dalam bentuk[5] ;
i.              Anak benih sawit dibekalkan dari tapak semaian sawit yang mempunyai Sijil OPNCC/CoPN telah memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.
ii.            Baja tahun pertama dan kedua yang ditentukan mengikut jenis tanah.
iii.           Racun perosak/kimia boleh dipertimbangkan pada tahun pertama jika berlaku serangan serangga yang serius.



Bantuan skim bantuan tanam baru ini lebih di utamakan kepada kebun pemohon yang tidak pernah bertanam pokok sawit. Kesemua kos pembukaan ini ditanggung kerajaan. Hal ini juga merupakan satu jalan terbaik dalam membantu pekebun kecil di Malaysia. 

Syarat kelayakan bagi pemohon yang ingin memohon ialah[6] ;
i.              Warganegara Malaysia.
ii.            Pekebun kecil persendirian dengan pemilikan/pegangan tanah.
iii.           Keluasan maksimum tanah:
a)    5 hektar dan ke bawah (Semenanjung Malaysia) dan 7 hektar dan ke bawah dengan bantuan dihadkan kepada maksimum 5 hektar (Sabah dan Sarawak).
iv.           Berumur 18 tahun dan ke atas pada tarikh permohonan.
v.            Mempunyai geran tanah dan jika berkenaan, tanah mempunyai perjanjian serahan kuasa pengurusan kepada salah seorang penama dalam geran kongsi.
vi.           Syarat tanah adalah untuk tanaman sawit atau pertanian atau tiada sekatan untuk penanaman sawit.
vii.          Bagi Tanah Adat seperti Tanah NCR di Sarawak, permohonan hendaklah disokong oleh Ketua Kampung/Ketua Kaum/Tuai Rumah/pihak yang berkuasa dengan mengesahkan bahawa pemohon adalah pengusaha tanah tersebut dan tiada tuntutan bertindih.
viii.        Bagi tanah berstatus Permohonan Tanah (PT) di Sabah, permohonan hendaklah mendapat kebenaran dan pengesahan daripada Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah (JTU).
ix.           Kawasan tanaman adalah sesuai seperti kecerunan kurang daripada 25° dan bukan kawasan tanah bermasalah.
x.            Mendapat sokongan Ahli Parlimen/ ADUN (daripada kawasan tanah yang akan dimajukan).
xi.           Pemohon yang diluluskan bantuan hendaklah menyediakan kawasan tanaman mengikut amalan pertanian yang baik.
xii.          Pemohon tidak boleh menggunakan kelulusan skim sebagai alasan untuk menuntut hak milik Tanah Adat atau tanah tidak bergeran.
xiii.        Kelulusan skim boleh ditarik balik (terbatal), jika pemohon tidak dapat menyediakan tanah dalam tempoh 3 bulan selepas diberitahu melalui surat.

Kerajaan menerusi MPOB telah memperkenalkan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11). Ia bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui penggunaan tanah dan sumber semula jadi yang optimum. Industri sawit telah dikenal pasti sebagai Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang boleh meningkatkan pendapatan negara menjelang tahun 2020. Kerajaan sedang berusaha untuk memperkukuhkan lagi industri sawit negara dalam sektor pekebun kecil.

Objektif skim ini di perkenalkan ialah[7] ;

i.              Mengoptimumkan penggunaan tanah dan memanfaatkan sumber semula jadi yang terdapat di ladang sawit untuk pemeliharaan ternakan.
ii.            Menjana sumber pendapatan tambahan kepada pekebun kecil sawit persendirian.
iii.           Melahirkan usahawan tani di kalangan pekebun kecil sawit persendirian.

Skop bantuan yang disediakan kerajaan melalui MPOB ialah ;

i.              Penyediaan induk ternakan jantan dan betina.
ii.            Penyediaan input-input lain mengikut kesesuaian.
iii.           Penyediaan latihan berkaitan pelaksanaan projek integrasi ternakan dan
iv.           Penyediaan lawatan khidmat nasihat dan penyeliaan projek.

Syarat permohonan bagi melayakkan pekebun untuk memohon skim ini ialah ;

i.              Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas pada tarikh permohonan.
ii.            Pemohon adalah pekebun kecil sawit persendirian.
iii.           Pemohon mestilah bekerja sepenuh masa di kebun sawit masing-masing.
iv.           Jumlah pemilikan tanah pemohon secara agregat tidak melebihi 7 ha.
v.            Luas minimum kawasan adalah 1 ha untuk bantuan kambing dan 2 ha bagi bantuan lembu.
vi.           Komited untuk melaksanakan projek dengan bersungguh-sungguh hingga berjaya.
vii.          Punca pendapatan utama adalah daripada kebun sawit.
viii.        Menunjukkan bukti pemilikan atau penguasaan tanah yang sah mengikut undang-undang dan peraturan pihak berkuasa tanah negeri masing-masing.
ix.           Mempunyai kebun sawit yang sesuai dan selamat untuk menjalankan integrasi ternakan.

Syarat pelaksanaan skim ini adalah[8] ;

i.              Pemohon mestilah menandatangani perjanjian dengan MPOB.
ii.            Pemohon hendaklah menyediakan kemudahan asas iaitu kandang, pagar dan bekalan air bersih.
iii.           Pemohon perlu menyediakan sumber makanan ternakan yang mencukupi.
iv.           Pemohon mestilah melaksanakan Amalan Penternakan Baik mengikut Prosedur Operasi Standard MPOB.
v.            Sekiranya maklumat yang dinyatakan oleh pemohon dalam mana-mana peringkat pelaksanaan skim ini didapati tidak benar atau memberikan apa-apa dokumen palsu, maka permohonan atau penyertaan dalam skim ini akan ditolak atau kelulusan ditarik balik.
vi.           MPOB berhak meminda, menambah atau membatalkan mana-mana syarat di atas pada bila-bila masa tanpa perlu memaklumkan atau mendapatkan pengesahan daripada pemohon.


Bantuan skim integrasi tanaman merupakan salah satu inisiatif kerajaan dan MPOB untuk membantu pekebun kecil sawit meningkatkan pendapatan dengan amalan pertanian selain sawit.

Objektif pelaksanaan skim ini adalah[9] ;

i.              Menggalakkan pekebun kecil sawit persendirian melaksanakan integrasi tanaman dengan sawit bagi memaksimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan produktiviti ladang melalui penghasilan bahan makanan.
ii.            Menjana pendapatan tambahan kepada pekebun kecil sawit persendirian khususnya ketika sawit di peringkat pra-matang.
iii.           Meningkatkan pengeluaran bahan makanan negara.

Skop bantuan yang diberikan kerajaan melalui skim Integrasi Tanaman ini adalah ;

i.              Pemberian insentif tunai sebanyak RM 3000/ha untuk tanaman yang sesuai. Had maksimum bantuan ialah 4 ha.
ii.            Pemberian insentif tunai sebanyak RM 11 000/ha bagi bantuan integrasi tanaman lada hitam. Had maksimum bantuan ialah 2 ha.
iii.           Penyediaan lawatan khidmat nasihat dan penyeliaan projek.

Syarat permohonan skim Integrasi Tanaman ini ialah ;

i.              Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas pada tarikh permohonan.
ii.            Pekebun kecil sawit persendirian sahaja dengan hak pemilikan tanah tidak melebihi 40.46 ha dan bukan peserta dari agensi persekutuan atau negeri.
iii.           Menunjukkan bukti pemilikan atau penguasaan tanah yang sah mengikut undang-undang dan peraturan pihak berkuasa tanah negeri masing-masing.
iv.           Had minimum keluasan kebun sawit yang layak memohon ialah 0.40 ha.
v.            Syarat khusus untuk integrasi lada hitam ialah menanam sawit mengikut sistem tanaman sawit dua baris berkembar.


Syarat pelaksanaan bagi skim ini ialah ;

i.              Pemohon mestilah menandatangani Akujanji dengan MPOB.
ii.            Pemohon mestilah melaksanakan Amalan Pertanian Baik mengikut Prosedur Operasi Standard MPOB.
iii.           Bersetuju untuk merekodkan dan membekalkan data-data yang diperlukan oleh MPOB.
iv.           Umur sawit tidak melebihi tiga tahun bagi penanaman semula atau penanaman baru mengikut sistem segi tiga sama.
v.            Pekebun kecil yang menanam sawit mengikut sistem dua baris berkembar layak memohon.
vi.           Hanya jenis-jenis tanaman yang telah disenaraikan sahaja layak menerima insentif di bawah skim ini.
vii.          ekiranya maklumat yang dinyatakan oleh pemohon dalam mana-mana peringkat pelaksanaan skim ini didapati tidak benar atau memberikan apa-apa dokumen palsu, maka permohonan atau penyertaan dalam skim ini boleh ditolak atau kelulusan ditarik balik.
viii.        MPOB berhak meminda, menambah atau membatalkan mana-mana syarat di atas pada bila-bila masa tanpa perlu memaklumkan atau mendapatkan pengesahan daripada pemohon[10].

Kaedah pelaksanaan skim ini ialah ;

i.              Pemohon yang diluluskan hendaklah menguruskan sendiri aktiviti integrasi tanaman dengan sawit.
ii.            Pemohon boleh melaksanakan integrasi tanaman secara bersendirian atau berkelompok.
iii.           Pembayaran insentif akan dilakukan secara berperingkat mengikut kemajuan projek.
iv.           Pekebun kecil bertanggungjawab memasarkan hasil tanaman mereka sendiri.

Seterusnya, Kerajaan juga menerusi MPOB memperkenalkan bantuan Skim Diskaun CANTAS (SKIDIC) kepada kesemua pekebun kecil sawit. Diskaun bernilai RM1,000 bagi setiap unit CANTAS. Cantas adalah merupakan sabit khas yang dicipta bagi memudahkan proses penuaian buah sawit. Harga asal cantas ialah RM2,500 seunit[11].

Mengikut kajian yang telah dijalankan, alat penuai cantas berupaya meningkatkan tuaian buah tandan segar sebanyak 2.8 tan bagi setiap pekerja sehari berbanding 1.5 tan dengan menggunakan alat penuaian konvensional. Ini secara puratanya, bilangan tandan yang dapat dituai sejam berjumlah 75 tandan berbanding 50 tandan yang mampu dituai melalui kaedah konvensional sedia ada. Dalam kaedah ini, secara tidak langsung pendapatan pekebun kecil dan peladang mampu ditingkatkan sekali ganda dalam tempoh sebulan dan meningkatkan produktiviti sawit.

Kesannya kepada industri sawit negara khususnya untuk pasaran eksport dapat ditingkatkan dan sekaligus sasaran untuk mencapai pendapatan lebih RM128 bilion dalam indsutri sawit menjelang 2020 dapat dicapai. Selain itu, kaedah pemotongan pelepah sawit juga lebih mudah menggunakan alat ini kerana ianya lebih ringan, mudah dikendalikan serta menjimatkan masa dan tenaga. Meskipun penggunaan Cantas belum dipraktikan secara meluas, MPOB giat mempromosikan alat ini melalui Skim Diskaun Cantas (SKIDIC) bagi memudahkan peladang memiliki alat ini dengan harga lebih rendah di pasaran.
Kerajaan sememangnya prihatin akan keadaan rakyatnya terutama masyarakat yang mengusahakan tanaman sawit ini. Bantuan-bantuan ini bukan sahaja mengurangkan beban, namun sekaligus dapat mengekalkan dan menggunakan tanah dengan sebaiknya dengan mengamalkan pertanian sawit dari menjual tanah tersebut untuk menampung hidup.

6.0 KESIMPULAN

Pertanian sememang satu bidang perniagaan yang amat menguntungkan. Selagi mana kita berbudi pada tanah dengan mengusahakannya, selagi itulah akan dapat melihat dan merasai hasilnya. Mengusahakan sawit adalah satu jalan yang baik kerana pekebun akan merasai hasil tuaian selama 25 tahun.
Kejayaan kerajaan menyediakan input-input bantuan telah banyak membantu meringankan beban masyarakat di Malaysia. Bantuan ini juga menarik minat  masyarakat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian ini. Sambutan tinggi daripada masyarakat ini memperlihatkan kerajaan dan msyarakat saling membantu untuk menjadikan Negara Malaysia lebih maju dari segi ekonomi daripada tahun-tahun sebelumnya.